Pemuda Amanah gesa penyiasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan dihentikan

0
1

PEMUDA Amanah Nasional mendesak agar penyiasatan ke atas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dihentikan dengan segera dan intimidasi eksekutif ini tidak boleh dibenarkan berpanjangan lagi.

Exco Pemuda Amanah Nasional Fadhli Umar Aminolhuda, berharap agar tindakan yang sedang berlaku ini bukan suatu konspirasi panjang untuk mencemarkan nama hakim pertama yang menyabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.  

Beliau yang juga Pengerusi Peguam Muda Amanah menzahirkan rasa tersinggung dengan laporan media bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang memulakan siasatan atas dakwaan bahawa terdapat transaksi wang mencurigakan melibatkan akaun Nazlan.

“Alasan yang telah diberikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM bahawa siasatan itu dibuat kerana terdapat laporan merupakan alasan yang lemah, tidak berasas dan mengelirukan. 

“Tidak salah untuk pihak umum beranggapan bahawa siasatan yang sedang dijalankan ke atas Nazlan ini adalah suatu bentuk intimidasi eksekutif ke atas badan kehakiman Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya ingin membawa perhatian kepada peruntukan Seksyen 29(3) Akta SPRM 2009 yang menjelaskan bahawa kuasa menjalankan siasatan oleh SPRM yang boleh dilakukan sekiranya pegawai SPRM mempunyai “sebab untuk mengesyaki”.

“Dan ia bukan semata-mata atas alasan bahawa suatu laporan telah dibuat seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“SPRM sepatutnya menilai terlebih dahulu laporan yang diterima dan menyatakan apakah sebab yang disyaki tersebut sebelum membuat siasatan ke atas Nazlan,” katanya.

Menurutnya, Pemuda Amanah Nasional juga kecewa dan mengutuk sifat ‘limau masam sebelah’ oleh SPRM yang penuh hipokrasi dalam menjalankan tugas dan amanah mereka. 

“Rakyat juga masih ingat bagaimana SPRM membisu malah dengan segera menafikan keperluan siasatan apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM dituduh menyalahgunakan kedudukan beliau sebelum ini walaupun ada laporan telah dibuat. 

“Di manakah integriti badan pencegahan rasuah negara sekarang ini?” soalnya.

Fadhli berkata, dalam apa keadaan sekalipun, Najib dan pengikutnya perlu sedar bahawa beliau dijatuhkan bersalah bukan sahaja oleh Hakim Nazlan.

“Malahan dikekalkan keputusannya oleh tiga lagi Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sehinggakan Najib digelar sendiri oleh Panel Mahkamah Rayuan sebagai ‘National Embarrassment’. 

“Adakah ketiga-tiga Hakim Mahkamah Rayuan ini juga akan dipalitkan dengan kontroversi mengarut sebegini?” soalnya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here