Isu kapal tempur: DAP gesa kerajaan deklasifikasi laporan siasatan 

0
1

DAP menggesa kerajaan memberi deklasifikasi terhadap Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang membongkarkan penyelewengan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang melibatkan kerugian dan ketirisan dana awam.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai, berkata pihaknya juga mahu kerajaan mendedahkan jumlah dana awam yang telah dan yang akan dibelanjakan untuk projek LCS berkenaan.

“(Malah, kita) juga meminta kerajaan mengeluarkan satu Kertas Putih di Parlimen menerangkan segala hal berkenaan perolehan ‘Littoral Combat Ship, cost over-run’, terlewat jadual serta penyelewengan dan ketirisan berkenaan projek ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan keputusan kerajaan mengumumkan meneruskan meneruskan projek LCS.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputus terbabit dibuat selepas mengambil kira dua faktor utama.

Beliau berkata, antara faktor yang diambil kira ialah bahawa LCS adalah aset yang amat dikehendaki dan diperlukan, selain bukan sekadar memenuhi perancangan pemodenan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikut pelan transformasi sedia ada.

Menurut Hishammuddin, lebih penting, LCS diperlukan untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armada kita dan menambah baik usaha memelihara kepentingan maritim negara.

Sementara itu, Hon Wai yang juga Jurucakap DAP berkenaan Pertahanan berkata, Malaysia adalah sebuah negara maritim dan perancangan pemodenan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah diperlukan, tetapi harus dirancang dengan rapi dan penuh tanggungjawab kerana ia membabitkan penggunaan dana awam berbillion-billion ringgit.

“Malaysia mempunyai ‘score’ yang rendah dalam Indeks Antarabangsa berkenaan dengan Rasuah di Sektor Pertahanan. 

“Malaysia mendapat markah 45% dengan kedudukan D dalam Indeks Intergriti Pertahanan Kerajaan (GDI) pada tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here