“Bukan setakat ASP, Superintendan dan Ketua Polis Daerah pun kita ambil tindakan” – Ayob Khan

0
1

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan pegawai polis wanita yang membuat video siaran langsung di aplikasi TikTok ketika serbuan di sebuah pusat hiburan baru-baru ini adalah pegawainya.

Menurutnya, pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) itu bertugas di JSJN Bukit Aman dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) tatacara penggunaan media sosial.

Beliau berkata, terdapat tiga arahan berhubung tatacara penggunaan media sosial iaitu pada Mei 2014, Ogos 2020, dan Februari 2021.

“Mengikut arahan berkenaan memang tidak dibenarkan (rakaman secara langsung), kita akan tunggu siasatan daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

“Jika dilihat video berkenaan memang nak promosi. Kita tidak pilih bulu, kalau di Johor dulu bukan setakat ASP, Superintendan dan Ketua Polis Daerah pun kita ambil tindakan, apa pun kita tunggu siasatan lengkap,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

BACA LAGI: JIPS siasat pegawai polis wanita buat ‘live’ ketika serbuan

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain mengarahkan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) menyiasat video siaran langsung oleh pegawai polis wanita yang didakwa dilakukan ketika serbuan di pusat hiburan.

Razarudin dilaporkan berkata, satu arahan berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama membabitkan aplikasi TikTok akan dikeluarkan JIPS hari ini.

Terdahulu, pegawai polis wanita berpangkat ASP dikecam selepas membuat video secara langsung di TikTok semasa melakukan serbuan ke atas pusat hiburan bersama beberapa pegawai dan anggota lain.

Dalam video berkenaan pegawai polis wanita terbabit turut teruja mendapat tontonan seramai 1,900 penonton dan meminta lebih ramai mengikuti akaun TikTok miliknya supaya dapat mengumpul sehingga 100,000 pengikut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here