JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah jenis syabu dengan penahanan empat suspek serta merampas 287 kilogram (kg) syabu bernilai RM10.3 juta dalam serbuan di Selangor dan Johor hujung minggu lalu.
Pengarahnya Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata tangkapan membabitkan dua individu di Puchong, Selangor termasuk seorang jurulatih renang berusia 25 tahun yang dipercayai menjadi dalang sindiket yang turut menyeludup dadah ke negara jiran.
Menurutnya, sindiket dadah berkenaan dikesan mengedar dadah sekitar Lembah Klang dan sebahagian besarnya dibawa ke Selatan tanah air sebelum diseludup ke negara jiran melalui laluan laut.
“JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Selangor dan JSJN Johor membuat empat serbuan berasingan di Selangor dan Johor pada Jumaat dan Sabtu lalu.
“Serbuan pertama di Puchong yang berjaya menahan dua suspek berusia 25 dan 29 tahun warga tempatab yang kemudian membawa kepada satu lagi serbuan di kawasan sama yang berjaya menemui sejumlah dadah.
“Dua lagi serbuan dijalankan di Johor Bahru, Johor kemudian dan berjaya menahan dua lagi suspek lelaki tempatan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dikesan mula aktif mengedar dadah sejak Januari lalu dan kesemua suspek kini direman lima hingga tujuh hari bermula Sabtu lalu.
Ayob Khan berkata, polis turut menyita pelbagai aset sindiket antaranya tiga kenderaan bernilai RM168,000 dan wang tunai RM5,000 dengan nilai keseluruhan dan sitaan harta berjumlah RM10.5 juta.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan keseluruhan 287 kg dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh 1.43 juta orang penagih,” katanya. – Malaysiapost



