Demam babi: 19 ladang babi kosong tanpa pengetahuan pihak berkuasa

0
1

SEJUMLAH 19 ladang babi di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson, yang disyaki terkena wabak virus Demam Babi didapati kosong.

Sebelum ini, satu ladang di kawasan itu disahkan dijangkiti virus Demam Babi Afrika (ASF) yang menyebabkan 275 ekor telah dilupuskan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, pengosongan ladang itu hanya diketahui selepas pasukan pemantau Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) membuat pemeriksaan.

Menurutnya, kira-kira 2,000 ekor babi ternakan dipercayai dibawa keluar tanpa pengetahuan pihak berkuasa, lapor Harian Metro.

Katanya, pemilik ladang tidak memaklumkan tindakan berkenaan terlebih dahulu dan sehingga kini JPVNS tiada pengetahuan sama ada babi diternak dipindah ke lokasi lain atau dilupuskan.

“Pemantauan terus dilakukan dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada pihak polis. Jika kita mempunyai maklumat (keberadaan babi), kita akan masuk serta-merta untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan akhbar tersebut.

Beliau ditemui selepas meninjau jualan daging dan produk asas tani serta mempromosi Mantai Perdana Online di Pasar Tani Paroi Jaya.

Bakri berkata, JPVNS juga tidak menerima laporan kemungkinan babi dari 19 ladang itu dijual kepada orang ramai pada harga murah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati bagi mengelak sebarang risiko keselamatan.

Pada 8 April lalu, JPVNS mengesan kes pertama ASF di sebuah ladang di Kampung Baru Tanah Merah Site A dan mengambil tindakan melupuskan kesemua 275 ekor babi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here