BERSATU belum membuat sebarang pendirian berkaitan pendekatan ‘khemah besar’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat kepimpinan tertinggi parti untuk mencapai satu kata putus mengenainya.
Malah, beliau berkata, perkara berkenaan juga akan dibincangkan dengan rakan parti komponen di dalam Perikatan Nasional (PN).
“Setakat ini, kita belum berbincang, khemah mana yang kita nak masuk, khemah besar atau khemah kecil. Terserah kepada presiden.
“Apabila tiba masanya, rakan-rakan dalam Perikatan Nasional tentu bersama kita, komited, terutama sekali di Semenanjung ini.
“PAS dan Bersatu sebagai rakan akrab, rakan kongsi yang akan meneruskan agenda perjuangan agama bangsa dan tanah air, menolak kleptokrasi, menolak segala bentuk kemungkaran dan salah guna kuasa.
“Kita akan teruskan perjuangan ini demi kepentingan rakyat dan negara, memperbaiki imej negara yang tercalar dengan teruk sekali,” katanya kepada media semasa program Singgah Sahur Bersama Media dan Belia Negeri Perak di Tambun, hari ini.
Khamis lalu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pembangkang perlu berjiwa besar dengan memaaf dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan pendekatan ‘khemah besar’ sebagai persediaan menghadapi PRU15.
Menurutnya, kesepakatan barisan pembangkang cukup penting bagi PRU15 kelak dengan hanya satu musuh utama iaitu Barisan Nasional (BN).
Terdahulu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam kenyataan berkata, pendekatan ‘Khemah Besar’ yang dianjur Amanah tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan iaitu Umno, Bersatu atau PAS. – Malaysiapost

