TARIKH debat antara Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu Sapura Energy Berhad (SEB) masih dalam perbincangan dan pemakluman berkenaan debat itu akan dibuat menerusi satu sidang media hujung minggu ini.
Sehubungan itu Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata kenyataan kononnya Anwar telah tersetuju debat diadakan selepas Aidilfitri adalah tidak benar.
“Isham Jalil (Ketua Penerangan BN Selangor) dan Najib kata kononnya Anwar sudah setuju tarikh lepas raya. Mana ada, kita belum setuju pun. Semua masih dalam perbincangan dan belum diputuskan.
“Pada 8 April 2022, dalam pertemuan pertama bersama Isham (dia datang bertiga, saya berdua), saya sampaikan hasrat Anwar agar debat dibuat dalam bulan Ramadan. Isham sampaikan pandangan bulan Ramadan tak sesuai atas pelbagai alasan, dan cadang selepas raya.
“Saya terima pandangan beliau dan kami bincang beberapa tarikh untuk dirujuk kepada pimpinan masing-masing,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Fahmi berkata, dalam pertemuan itu beliau bersama Isham berbincang beberapa perkara berkaitan debat tersebut, malah Isham juga ada mencadangkan debat itu ‘ditukar’ format kepada sesi ‘wacana’.
“Kami bincang beberapa perkara lain termasuk media mana, tempat mana, jam berapa, siapa hos, berapa ramai yang boleh hadir, sekuriti macam mana dan banyak lagi.
“Malah Isham cadang bukan format debat, tapi ‘wacana’! (Ingatkan Najib yang nak sangat debat?)
“Apa pun, kami setuju untuk jumpa semula 13 April (semalam) untuk perbincangan lanjut selepas mendapat pandangan pimpinan masing-masing,” ujarnya.
Bagaimanapun, dalam pertemuan semalam, Fahmi mengulangi pendirian Anwar mahu mengadakan debat secepat mungkin dalam bulan Ramadan, namun Isham tetap mencadangkan sesi itu berlangsung selepas Aidilfitri.
“Jadi, sebarang tarikh yang dibayangkan Isham atau Najib itu belum dipersetujui atau disahkan. Bukan fait accompli. Kita ikutlah proses.
“Isham ada dua saksi, saya pun ada dua saksi. Tapi saya tak tahulah kalau admin FB berbayar Najib antara dua saksi semalam. Jadi kita tunggu pengumuman rasmi bersama hujung minggu ini,” katanya.
Semalam, Isham mempersoalkan tindakan Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, yang didakwa ‘pusing cerita’ berkenaan debat Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, beliau telah bertemu Fahmi pada minggu lalu dan Pengarah Komunikasi PKR itu bersetuju mengadakan debat berkenaan selepas Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, bagaimanapun kelmarin Fahmi mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa pihak Anwar tidak bersetuju sesi debat itu dilakukan selepas raya. – Malaysiapost

