KES baharu Covid-19 kembali mencecah lima angka iaitu 10,052 kes semalam, menjadikan keseluruhan kes kini sebanyak 4,196,656.
Ia selepas tiga hari berturut-turut kes di bawah 10,000 bermula 10 April apabila kes positif merekodkan sebanyak 8,112, pada 11 April pula 7,739 kes dan 12 April, 9,002 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu dilaporkan semalam, 21 adalah kes membabitkan 18 warganegara dan tiga bukan warganegara.
Menurutnya, 10,031 pula adalah kes tempatan membabitkan 9,606 warganegara dan 425 bukan warganegara.
“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 161 membabitkan 63 kes disahkan Covid-19; 98 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.
“Kes memerlukan bantuan pernafasan pula adalah 99 membabitkan 41 kes disahkan Covid-19; 58 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – Malaysiapost

