Tiket balik raya mahal, mahasiswa gesa kerajaan kawal harga

0
1

PERSATUAN mahasiswa menggesa kerajaan mengawal harga tiket penerbangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak pada musim perayaan Aidilfitri, yang disifatkan tidak munasabah.

Gesaan itu dikeluarkan menerusi satu kenyataan bersama bagi menyatakan kegelisahan dan kekecewaan mereka berhubung perkara berkenaan.

Persatuan itu juga berpandangan Kementerian Pengangkutan perlu memainkan peranan lebih proaktif dan tegas ke atas syarikat penerbangan agar meletakkan harga tiket secara lebih muhasabah.

Kenyataan itu dikeluarkan Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Anwar Hadi Romli; Yang Dipertua PKPIM Sabah, Muhammad Izuddin Hassanuddin dan Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS), Muhammad Luqmanul Hakim Mohd Suffian.

Menurut kenyataan itu, mereka bersetuju dengan cadangan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah agar kerajaan Persekutuan menetapkan harga siling bagi tiket penerbangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

“Ini bagi memastikan wujud mekanisma kawalan terhadap harga tiket kapal terbang terutama musim perayaan,” katanya.

Sehubungan itu, mengambil kira keadaan pelan peralihan ke fasa endemik, mereka berkata, kerajaan wajar lebih sensitif dan empati bagi memberi ruang kepada rakyat terutama mahasiswa Borneo pulang menyambut Hari Raya bersama keluarga selepas dua tahun berhadapan kekangan Covid-19.

“Kami juga berharap Kementerian Pengangkutan lebih peka dan lebih tegas mengawal harga tiket pengangkutan awam termasuk tiket bas dan ETS bagi memastikan mahasiswa seluruh negara dapat meraikan Hari Raya bersama keluarga di kampung halaman masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here