EMPAT ketua bahagian Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) bersama 500 ahli mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Bekas Ketua Putra Bahagian Hang Tuah Jaya, Prof Dr Mohd Aluwi Sari, berkata keputusan yang diambil susulan daripada keputusan Mesyuarat Dewan Tertinggi (DT) pada 1 April mengumumkan pembubaran Badan Perhubungan PUTRA Melaka.
Beliau berkata, tiga lagi ketua bahagian yang mengumumkan keluar parti selain Hang Tuah Jaya adalah Jasin, Kota Melaka dan Masjid Tanah, manakala Alor Gajah serta Tangga Batu terus kekal bersama parti.
Beliau berkata, surat bertarikh 5 April 2022 ditandatangani Setiausaha Agung PUTRA, Borhan Ahmad Zakaria telah memaklumkan mengenai pembubaran tersebut.
“Ini bermakna tiada lagi Jawatankuasa Perhubungan Negeri dan semua urusan parti di peringkat negeri, sayap dan cawangan diuruskan kepada Setiausaha Agung.
“Jawatan Pengerusi yang saya pegang telah ditarik balik, namun mengekalkan jawatan saya selaku Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya.
“Bagaimanapun, saya bersama tiga Ketua Bahagian yang lain bersepakat untuk keluar terus daripada PUTRA bersama 500 ahli lain kerana sudah hilang kepercayaan terhadap Presiden, Datuk Dr brahim Ali,” katanya seperti dilapor Utusan Online.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Putra telah membuat penampilan sulung dengan bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun tewas semuanya.
Mohd Aluwi yang juga merupakan calon parti itu di kerusi Pengkalan Batu telah kehilangan deposit kerana sekadar memperoleh 82 undi.
Mengulas lanjut, beliau menambah, alasan yang diberikan oleh DT berkenaan pembubaran Badan Perhubungan PUTRA Melaka tidak dapat diterima olehnya.
“Alasan yang diberikan iaitu minit Mesyuarat Agung Tahunan bahagian-bahagian tidak dihantar mengikut tempoh masa yang ditetapkan dan mengakibatkan ada beberapa bahagian yang telah wujud sudah terbatal,” katanya. – Malaysiapost

