PELAKON Rita Rudaini Mokhtar mengakui berasa sedih dan sebak kerana terpaksa duduk berjauhan dengan anak sulungnya Airit Rayyan Rizqin, 13.
Menerusi hantaran di Instagramnya semalam, pelakon kelahiran Kangar, Perlis itu meluahkan perasaan sedih ketika menghantar anaknya ke sebuah sekolah berasrama penuh, dipercayai Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Dalam hantaran sama, Rita turut memuat naik video pendek memeluk anak sulungnya itu serta menitiskan air sekali gus mengundang sebak di kalangan netizen.
Menerusi kapsyen hantaran itu, Rita menjelaskan, sebagai seorang ibu adalah normal baginya berasa sedih kerana tidak pernah berenggang dengan anaknya yang dibesarkan seorang diri selepas bergelar ibu tunggal.
“Saya ibu yang normal, rasa sakit, rasa pedih itu dah biasa. Macam mana hujan lebat hari ini macam tau derasnya air mata saya hari ini.
“Air mata gembira bercampur dengan sebuah rasa, rasa itu adalah rasa cinta, sayang, rindu kerana tidak pernah berenggang, hari ini kami berjauhan,” tulisnya.
Namun jelas Rita, dia merasa bangga kerana anaknya melangkah setapak lagi kehadapan dan mendoakan Airit Rayyan berjaya.
“Mommy sedih sampai dada sakit dalam masa sama mommy rasa gembira dengan anak yang hanya dibesarkan oleh ibu tunggal melangkah setapak lagi kehadapan.
“Mommy sentiasa menjadi saya kiri dan kananmu, ‘fly high Airit Rayyan Rizqin’,” katanya.
Untuk rekod, Rita mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak Aidil Zafuan Abdul Razak pada 2008 sebelum bercerai pada September 2013.
Hasil daripada perkahwinan itu Rita dan Aidil Zafuan dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 13, dan Airit Qaqa, 11.
Sebelum ini, Rita Rudaini pernah menyatakan hasrat meletakkan titik noktah dalam dunia lakonan, sebelum usia mencecah 50 tahun.
Keputusan itu dibuat untuk memberi tumpuan kepada dua anaknya yang bakal dihantar mengikuti pengajian tahfiz. – Malaysiapost

