POLIS telah mengenal pasti identiti lelaki yang memukul menggunakan rantai besi dan memaksa kenalannya memotong jari sendiri selepas pertengkaran berkaitan kematian teman wanita mangsa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata pihaknya terkesan satu video berdurasi 7 minit 39 saat di Facebook Sabtu lalu, memaparkan kejadian berkenaan.
Katanya, hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
“Justeru pada jam 1.04 pagi semalam, kaunter aduan Balai Polis Klang telah menerima aduan daripada mangsa iaitu seorang lelaki tempatan.
“Mangsa menyatakan pada 13 November 2021 jam 8.30 malam, semasa berada di rumah majikannya di Taman Chi Liung, Klang, dia bertengkar mulut dengan suspek lelaki warganegara tempatan.
“Semasa pertengkaran mulut, suspek menampar mangsa dua kali dan mencabar untuk memotong jarinya jika mangsa tidak mempunyai apa-apa kaitan tentang kematian teman wanita mangsa.
“Jadi, bagi membuktikan kebenarannya, mangsa mengambil sebilah pisau dan memotong jari kelingking sebelah kiri. Setelah itu, mangsa pengsan dan dihantar ke hospital untuk rawatan.
“Didapati mangsa tidak membuat laporan polis berkaitan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Hoong Fong berkata, pada Ahad lalu, suspek sama datang ke rumah majikannya dan masih menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap mangsa atas kematian teman wanita mangsa.
“Suspek telah mengambil seutas rantai besi dan memukul mangsa beberapa kali di bahagian belakang badan, kepala, tangan kiri dan bahagian kaki mangsa. Setelah itu, mangsa beredar.
“Semasa kedua dua kejadian ini, suspek telah membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit suspek,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata.
Tambahnya, suspek dalam kes ini telah dikenalpasti dan polis dalam usaha untuk mengesan dan menangkapnya. – Malaysiapost

