DAP menerima hakikat penurunan peratusan sokongan yang ketara kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata walaupun parti itu berjaya mempertahankan 10 kerusi namun dengan peratusan undi yang lebih rendah.
Sehubungan itu katanya, hari ini pemimpin Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang baru dilantik bersama semua Ahli Parlimen DAP mengadakan pemukiman untuk membincang hala tuju dan pelan tindakan parti sebagai persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, satu sesi analisa keputusan PRN Johor dibentangkan untuk memahami pola pengundian di setiap kerusi ditandingi calon DAP dan kesannya kepada PRU15.
“Berdasarkan kepada pola pengundian di Johor, pemukiman hari ini membincang dan menetapkan pelan tindakan yang khusus untuk 4 bulan yang akan datang.
“Kami menetapkan sasaran bahawa seluruh jentera pilihan raya DAP mesti bersiapsiaga menjelang Ogos 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Loke berkata, kepimpinan DAP amat sedar salah satu syarat utama sebelum PRU ialah penggubalan Akta Anti Lompat Parti untuk mengembalikan keyakinan pengundi terhadap sistem pilihan raya.
Berikutan itu katanya, parti akan memberi sokongan padu kepada Gobind Singh untuk mewakili pendirian DAP dalam Jawatankuasa Pilihan Khas yang ditubuhkan Parlimen semalam untuk memastikan agenda bagi meluluskan RUU Akta Lompat Parti sebelum akhir Mei.
“Objektif utama pemukiman hari ini ialah untuk mencetus semula harapan dan keyakinan kepada semua pemimpin DAP untuk memimpin ahli-ahli akar umbi kita berjuang habis-habisan dan memenangi sokongan rakyat dalam PRU15,” katanya. – Malaysiapost

