MB Johor jamin perbaiki sistem di CIQ, elak kesesakan teruk

0
1

KERAJAAN Johor memberi jaminan agensi berkaitan akan memperbaiki sistem sedia bagi memastikan kesesakan teruk di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru tidak berulang.

Jaminan itu diberikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas meninjau kesesakan di CIQ berkenaan malam tadi, susulan ribuan pekerja Malaysia mahu pulang ke Singapura.

“Untuk makluman, pihak Imigresen dan KDN telah mengambil tindakan segera untuk mengurangkan kesesakan di CIQ BSI. Saya juga telah turun padang untuk melihat keadaannya sendiri.

“Saya mohon maaf di atas segala kesulitan dan kekhilafan yang berlaku. Kita akan perbaiki lagi sistem sedia ada supaya perkara ini dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu media melaporkan ribuan pekerja Malaysia yang mahu pulang bekerja di Singapura memenuhi CIQ BSI sejak jam 8 malam hingga awal pagi tadi.

Ia selepas lebih seminggu sempadan Malaysia-Singapura dibuka pada 1 April lalu.

Beberapa kumpulan Facebook pekerja Malaysia-Singapura memuat naik gambar ribuan pekerja Malaysia beratur sehingga di tepi jalan utama CIQ itu bagi kembali berulang-alik ke republik itu bagi bekerja.

Ramai pekerja Malaysia turut memuat naik dan berkongsi pengalaman mereka beratur antara satu jam setengah sehingga hampir tiga jam sebelum melepasi pemeriksaan di CIQ BSI dan Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura

Hampir kesemua mereka masuk ke Singapura dengan berjalan kaki manakala yang lain menggunakan perkhidmatan bas.

Kebanyakan pekerja Malaysia turut dilihat memuat naik komen mahu lebih banyak QR Code diletakkan di sekitar CIQ BSI supaya barisan tidak terlalu panjang selain mahu lebih banyak kaunter Imigresen dibuka bagi mempercepat urusan pemeriksaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here