Saya tak lari, saya tak runding dan saya tak ‘surrender’ – Najib

0
1

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berpendapat adalah sukar bagi kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya dipercepatkan kerana beliau secara keseluruhan perlu menghadapi 10 kes di mahkamah.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, kesemua kes dikenakan Jabatan Peguam Negara berkenaan adalah berjalan serentak dan ketika Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Bulan Ramadan, Muhyiddin cuma fikir benda macam ini? Tapi dia tak terfikir bahawa masa dia dalam kerajaan PH dan PN, saya telah dikenakan 10 kes oleh Jabatan Peguam Negara yang berjalan serentak

“Bagaimana nak dipercepatkan?” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin berkenaan keputusan mahkamah di Amerika Syarikat (AS) Sabtu lalu yang menjatuhi hukuman bersalah ke atas bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng, atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan skandal 1MDB.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri kelapan, berkata beliau percaya mahkamah di Malaysia juga akan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam kes 1MDB yang masih dalam prosiding dan berharap perbicaraan kes itu mesti disegerakan agar keadilan segera dicapai.

Sebagai maklum balasnya, Najib menyenaraikan kes-kes yang sedang dihadapi membabitkan kes-kes jenayah dan sivil.

  1. Kes SRC RM42 juta – kerajaan PH (Kes ini sudah di peringkat Mahkamah Persekutuan)
  2. Kes SRC RM27 juta – kerajaan PH (Kes ini baru bermula)
  3. Kes 1MDB-Tanore – kerajaan PH (Dalam perbicaraan)
  4. Kes Laporan Audit – kerajaan PH (Dalam perbicaraan)
  5. Kes IPIC – kerajaan PH (Dalam perbicaraan)
  6. Saman sivil lucut hak dana tunai – kerajaan PH (Najib menang kes ini)
  7. Saman sivil lucut hak barangan – kerajaan PH (Najib menang kes ini)
  8. Saman muflis cukai RM1.7 bilion LHDN – kerajaan PH dan PN (Dalam perbicaraan)
  9. Saman sivil ganti rugi 1MDB US$8 bilion (RM33.5 bilion) – kerajaan PN
  10. Saman sivil ganti rugi SRC US$1.18bil (RM4.94 bilion) – kerajaan PN

Najib, mendakwa kedua-dua kes saman sivil yang dimulakan oleh kerajaan PN juga diketuai oleh peguam peribadi Muhyiddin.

“Saya pelik. Sekiranya saya sudah diperintah bayar denda RM210 juta dalam kes SRC, bagaimana pula saya nak bayar cukai RM1.7 bilion, gantirugi RM33.5 bilion dan RM4.94 bilion lagi?

“Biarpun kerajaan perlu tanggung kos besar bagi membayar peguam serta kos perbicaraan mahkamah sekiranya kerajaan menang kes-kes sivil ini pun kerajaan tak dapat apa-apa sebab takkan saya boleh dimufliskan 4 kali? Tapi dibuat mereka juga.

“Sepuluh kes ini belum ambil kira pula pendakwaan terhadap dua peguam pertahanan saya dan kes-kes saman terhadap ahli-ahli keluarga saya. Bukan hanya saya tetapi peguam-peguam yang mahu pertahankan saya turut didakwa,” katanya.

Najib berkata, puluhan kes dihadapinya kos perlu ditanggung sendiri, manakala ‘mereka’ yang mengenakannya ditanggung kerajaan kerana kuasa untuk memulakan pendakwaan adalah kuasa mutlak kerajaan.

“Saya dah naik turun mahkamah hampir 500 hari dalam tempoh empat tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Duduk pukul 9 pagi hingga 5 petang dalam mahkamah hampir setiap kali.

“Tetapi saya tak lari, saya tak runding dan saya tak ‘surrender’. Saya terus melawan agar saya mendapat keadilan sebenar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here