KEMENTERIAN Luar Negeri (KLN) menjelaskan bahawa Duta Besar Malaysia ke Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai telah dipanggil pulang ke kementerian itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan tindakan sedemikian diambil kerana kedua-dua Ketua Perwakilan tersebut telah gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke UAE pada 29 hingga 31 Mac lalu.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua wakil berkenaan gagal menyelaras mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi peringkat tertinggi negara di luar negeri, terutamanya semasa ketibaan Perdana Menteri di Dubai pada 29 Mac lalu.
“Kegagalan ini termasuk Perdana Menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai.
“Selain itu, liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motorked yang sepatutnya disediakan untuk Perdana Menteri seperti amalan SOP biasa juga tiada,” katanya.
Menurut Wisma Putra, lazimnya dalam apa keadaan sekalipun, seperti ketika Perdana Menteri menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York, walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan taraf tetamu, namun Ketua Perwakilan Malaysia tetap menyediakan liputan dan kawalan keselamatan mengikut SOP.
“Kedua-dua pegawai tersebut juga gagal memaklumkan kepada KLN di Putrajaya tentang penganjuran WGS yang diadakan di dalam kawasan Ekspo Dubai. Pimpinan tertinggi KLN hanya mengetahuinya pada 30 Mac melalui sumber lain.
“Sekiranya pimpinan tertinggi KLN telah dimaklumkan awal pastinya usaha telah dibuat supaya Perdana Menteri menyampaikan ucapan di program tersebut,” katanya.
Menurutnya, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin kemudian berjaya mendapat jemputan untuk Perdana Menteri menghadiri majlis penutup WGS pada petang 30 Mac lalu.
“Masalah ini tidak akan berlaku sekiranya penyelarasan dibuat lebih awal. Ini kerana kerajaan UAE telah menyediakan semua kemudahan kepada Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan sehingga akhir lawatan.
“Justeru, semasa majlis perlepasan pulang Perdana Menteri dari Dubai, kerajaan UAE telah mengaturkan ‘static guards of honour’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum,” katanya.
Wisma Putra menegaskan, tindakan memanggil balik kedua-dua pegawai berkenaan bukan sesuatu luar biasa dan dibuat melalui perundangan dengan pihak-pihak yang berkenaan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Ia diambil bagi menjaga kepentingan hubungan bilateral di antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, di samping bagi memastikan kompetensi dan kepentingan perkhidmatan awam,” katanya. – Malaysiapost

