Penjawat awam tak lengkap imunisasi Covid-19 tetap dapat bantuan khas

0
1

PENJAWAT awam yang tidak mendapat dos vaksinasi Covid-19 yang lengkap layak menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, bantuan khas yang diumumkan pada 5 April lalu adalah untuk semua kakitangan awam dan pesara yang layak, termasuk mereka yang tidak mendapat dos imunisasi Covid-19 yang lengkap.

“Susulan itu, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) supaya membatalkan Perkara 6 (VI) dalam pekeliling Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 bertarikh 8 April 2022.

“Bagaimanapun perkara-perkara lain dalam pekeliling tersebut masih terpakai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, pengumuman awal beliau sebelum ini tidak pernah menyatakan sebarang pengecualian bayaran kepada mana-mana penjawat awam mengikut status vaksinasi.

“Ini bagi memastikan tidak ada penjawat awam atau pesara yang layak menerima bantuan ini daripada tercicir.

“Biarpun tidak diwajibkan, kerajaan menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk melengkapkan dos suntikan imunisasi Covid-19 demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Terdahulu, tersebar di media sosial bahawa penjawat awam yang belum menerima lengkap vaksinasi Covid-19 dinafikan untuk menerima bantuan khas tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here