Anwar desak pihak berkuasa segera tangkap Jho Low

0
1

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan memberkas segera dalang utama skandal 1MDB, Jho Low dan konco-konconya.

Menurutnya, beliau tidak akan mendiamkan diri selagi dalang utama konspirator itu tidak diheretkan ke muka pengadilan.

“Terdapat banyak jaminan diberikan pihak berkuasa bahawa Jho Low dan gerombolannya akan diberkas. Namun, sehingga kini ia belum terhasil.

“Watak-watak ini bergerak bebas di Malaysia bertahun-tahun sehinggalah beberapa hari sebelum pilihan raya umum yang lepas.

“Berapa banyak peluang telah terlepas untuk mengheret para konspirator ‘scam’ ini ke muka pengadilan? Saya tidak akan berdiam diri selagimana mereka ini tidak muncul di mahkamah di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menghamburkan pujian dan penghargaan kepada pihak pendakwaan di Eastern District New York atas usaha dan upaya mereka dalam mengheret salah seorang dalang skandal 1MDB.

Malah, Anwar berharap tiada seorang kakitangan Goldman Sachs yang terlibat terlepas daripada dibawa ke muka pengadilan.

“Seorang pegawai dari Goldman Sachs telah disabitkan dengan jenayah dalam skandal 1MDB. Untuk menyebut bahawa keadilan telah ditegakkan sangat tidak jujur. Kenyataan para saksi sepanjang perbicaraan ini hanya mengungkapkan kesalahan dan peranan banyak orang.

“Pegawai-pegawai kanan Goldman Sachs yang terlibat dengan skandal 1MDB tidak boleh melepaskan diri dari kelalaian mereka serta kerosakan dan kerugian yang diakibatkan kepada Malaysia,” katanya.

Justeru, Anwar berkata, keterlibatan yang jelas Goldman Sachs dalam ‘scam’ ini dan skandal 1MDB.

“Saya ulang pendirian saya bahawa penyelesaian yang dicapai antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs pada tahun 2020 adalah pramatang dan gagal untuk mengambilkira tahap kerugian yang sedang dan akan terus ditanggung rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysisapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here