AHLI Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said turut serta bersama mereka yang mempersoalkan rancangan kerajaan untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Azalina berkata, RUU berkenaan yang didakwa bagi memudahkan penggubalan undang-undang anti lompat parti boleh mengundang krisis perlembagaan.
“Meminda Artikel 10 tanpa undang-undang anti lompat yang ditakrifkan dengan ketat akan menjadi terlalu luas dan berbahaya.
“Selain itu, undang-undang sebegitu kemudiannya boleh dicabar atas alasan perlembagaan.
“Mengapa tak turut pinda Perkara 48(6) pada Isnin ini untuk elak potensi krisis perlembagaan pada masa depan?” katanya menerusi ciapan Twitter semalam.
Perkara 48 adalah berkenaan kehilangan kelayakan seseorang daripada menjadi ahli parlimen.
Fasal 6 Perkara 48 menyatakan seseorang yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat.
Perkara 10 Perlembagaan menyebut mengenai kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
Menurut salinan RUU yang dikongsi oleh Ahli Parlimen Subang Wong Chen, RUU itu akan memasukkan fasal dalam Perkara 10 yang membenarkan keahlian parti bagi ahli parlimen dan Adun dihadkan oleh undang-undang persekutuan.
Perkataan subfasal itu berbunyi: “(3A) Walau apa pun perenggan (c) Fasal (2) dan Fasal (3), sekatan ke atas hak untuk menubuhkan persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) yang berkaitan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri juga boleh dikenakan oleh undang-undang persekutuan.”
Pengkritik menyatakan RUU itu akan membuka ruang kepada salah guna kuasa dalam membatalkan kelayakan ahli parlimen kerana ia tidak menyasarkan lompat parti secara khusus.
Kerajaan bercadang membentangkan RUU itu selepas rancangan untuk membentangkan undang-undang antilompat parti terhalang semasa mesyuarat kabinet pada Rabu lalu.
Draf asal rang undang-undang anti lompat itu secara automatik akan menghilangkan kelayakan mana-mana ahli parlimen yang bertukar parti atau dipecat daripada parti mereka.
Ia juga melarang ahli parlimen yang menang atas tiket Bebas daripada menyertai parti lain.
Azalina sebelum ini mencadangkan pilihan raya pecat bagi mengatasi lompat parti, namun pandangan itu tidak diterima kerajaan. – Malaysiapost

