Ahmad Razif nafi sanggup lepaskan kerusi kepada Mohd Khairuddin

0
1

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menafikan sanggup melepaskan kerusi dimenanginya kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga bekas ahli Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu menyifatkan laporan status facebook mengenai dakwaan yang disiarkan melalui akaun “Terengganu Repot” adalah tidak benar, palsu dan merupakan fitnah berat.

“Petikan status tersebut turut disertai gambar kehadiran saya pada sidang media Datuk Seri Dr Khairuddin. Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa status facebook tersebut adalah tidak benar, palsu dan merupakan fitnah berat yang dilemparkan kepada saya yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai Adun Seberang Takir.

“Laporan itu juga langsung tidak masuk akal, lawak, karut dan memalukan dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Lebih menyedihkan apabila fitnah sedemikian telah disebarkan pada bulan Ramadan yang mulia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau menjelaskan, selaku Adun Seberang Takir hanya sekadar turut hadir pada Majlis Berbuka Puasa Meraikan Ramadan bersama ibu tunggal dan masyarakat di Parlimen Kuala Nerus anjuran Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang diadakan di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu.

“Majlis tersebut juga turut dihadiri Datuk Dr Khairuddin selaku Pengerusi (PAAB) dan tiada sebarang kenyataan pun dikeluarkan oleh saya, apatah lagi sebagaimana yang dilaporkan oleh akaun facebook tersebut.

“Marilah kita mengisi Ramadan dengan penuh rahmat dan hikmah serta menjauhkan diri daripada sifat fitnah, hasad dengki dan buruk sangka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here