ANAK pasangan selebriti antarabangsa, David dan Victoria Beckham, Brooklyn sah bergelar suami kepada pelakon Nicola Peltz, dalam satu majlis perkahwinan penuh berprestij di Florida, Amerika Syarikat, semalam.
Memetik media antarabangsa, majlis perkahwinan Brooklyn, 23, dan Peltz, 27, berlangsung di rumah agam milik keluarga Peltz di Palm Beach, Florida sekitar jam 6 petang.
Dilaporkan, majlis mewah bagi meraikan hari istimewa Brooklyn dan Peltz, yang merupakan anak kepada jutawan, Nelson Peltz, menelan perbelanjaan sekitar 3 juta pound (RM16 juta).
Pasangan itu bertukar ikrar di hadapan seorang rabbi di bawah chuppah yang dihias bunga dalam upacara tradisional Yahudi, sebagai penghormatan kepada warisan keluarga Peltz.
Seiring dengan tradisi, Brooklyn kemudian memecahkan kaca yang dibalut dengan kain menggunakan tumitnya selepas dia dan pelakon filem The Last Airbender itu sah berkahwin.
Majlis penuh romantik itu turut diserikan dengan kehadiran selebriti terkenal termasuk Eva Longoria, Mel C, serta bintang tenis dunia, Serena Williams.
Sementara itu, Mail Online melaporkan pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan tersebut.
Bagaimanapun, Putera Harry dan isteri, Meghan Markle didakwa tidak dijemput bagi meraikan perkahwinan anak David dan Victoria itu.
Bintang muda Hollywood itu dilaporkan mula bercinta pada Oktober 2019, sebelum mengumumkan secara rasmi hubungan mereka pada Januari 2020.
Mereka mengikat tali pertunangan kurang dari setahun selepas menjalin percintaan. – Malaysiapost

