2 penyelam dikhuatiri hilang di Pulau Jarak ditemui selamat

0
2

DUA penyelam yang dipercayai hilang di kedudukan 0.4 batu nautika timur Pulau Jarak, pada malam tadi dilaporkan selamat selepas berpaut pada jeti Pulau Jarak.

Perkara itu disahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak berdasarkan maklumat yang diterima dari Balai Polis Pulau Pangkor.

Maklumat sama turut telah disalurkan kepada Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, dan Maritime Component Operation Comander (MCOC) untuk bantuan.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman, berkata mangsa yang hilang disahkan selamat pada jam 7.40 malam tadi setelah didapati mereka berpaut pada jeti Pulau Jarak bagi menyelamatkan diri.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya dipindahkan ke Pulau Jarak bagi tujuan pemantauan tahap kesihatan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Pos Pulau Jarak pada sekitar jam 8 malam.

“Terdahulu, kedua-dua mangsa terbabit diberitahu ingin melakukan aktiviti selaman di kawasan Pulau Jarak bersama tiga penyelam lain namun dilaporkan hilang dikhuatiri dibawa arus deras,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dua lelaki berkenaan yang juga berasal dari Kampung Acheh Perak kini disahkan berada dalam keadaan stabil ketika didaratkan di jeti Pulau Jarak.

“Kedua-duanya dibawa ke Pulau Pangkor dengan bantuan aset TLDM dengan diiringi dua anggota Maritim Malaysia Negeri Perak pada awal pagi ini.

“Maritim Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama serta bantuan aset yang diberikan oleh pasukan sahabat terutama TLDM dan komuniti nelayan tempatan sepanjang usaha menyelamatkan mangsa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here