6 nelayan Vietnam cuba sogok penguatkuasa

0
2

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Bintulu berjaya menahan sebuah bot nelayan asing yang sedang menjalankan aktiviti perikanan berhampiran muara Sungai Kemena Bintulu, pada jam 8 pagi, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, berkata tangkapan tersebut dibuat hasil maklumat risikan serta aduan komuniti maritim berkenaan aktiviti pencerobohan bot nelayan asing di kawasan yang dipercayai ‘hot- spot’ di perairan Sarawak.

Menurutnya, semasa rondaan rutin, Kapal Maritim (KM) Setia telah mengesan bot mencurigakan sedang leka mencuri hasil laut yang disyaki gamat oleh sekitar jam 9 malam Khamis lalu.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian awal pada struktur dan nombor pendaftaran, bot tersebut disyaki bot nelayan asing dari Vietnam.

“Menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, bot nelayan asing tersebut bertindak melarikan diri dari diperiksa oleh penguat kuasa.

“Berikutan itu, KM Setia mengambil masa hampir 10 jam mengejar dan memintas, sebelum berjaya menahan bot terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati enam kru lelaki termasuk tekong, warga Vietnam berusia lingkungan 28 hingga 37 tahun berada di atas bot berkenaan.

“Empat kru termasuk tekong mempunyai dokumen pengenalan diri manakala dua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tekong juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara,” katanya.

Menurutnya, menyedari kesalahan yang telah dilakukan, tekong berkenaan telah menawarkan suapan kepada pihak berkuasa sejumlah wang RM5,300 bagi tujuan melepaskan mereka serta bot.

“Bot dipercayai baru berada di lokasi berdasarkan muatan yang disyaki gamat berjumlah lebih kurang tiga kilogram beserta 2,000 kilogram garam yang akan digunakan sebagai bahan pengawet bagi menjaga ketahanan gamat tersebut sebelum dibawa pulang ke Vietnam.

“Kesemua kru, peralatan menangkap ikan serta hasil rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM500,000 ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut,” katanya

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara dan jika disabitkan bersalah, tekong boleh dihukum denda tidak melebihi RM6 juta dan RM600,000 bagi taip-tiap anggota kru terbabit.

Beliau berkata, kes turut disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana memberi suapan kepada penguatkuasa dan jika disabitkan boleh dipenjarakan selama tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana- mana yang lebih tinggi.

“Laporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082- 432544) yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here