BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa perbicaraan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disegerakan di negara ini.
Gesaan itu dibuat Presiden Bersatu, selepas Mahkamah di Amerika Syarikat hari ini telah menjatuhi hukuman bersalah ke atas bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng, atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan skandal 1MDB.
Menurutnya, perbicaraan kes Roger Ng telah mendedahkan bukti-bukti mengenai penyelewangan 1MDB yang melibatkan pegawai dan pemimpin utama kerajaan Malaysia pada ketika itu.
“Bagaimana tidak amanahnya mereka menyeleweng berbilion ringgit wang 1MDB yang sepatutnya digunakan untuk membiayai pelaburan strategik dan melaksanakan projek pembangunan ekonomi negara.
“Wang ini sebaliknya digunakan untuk memperkayakan diri sendiri dan kroni,” katanya menerusi Facebook.
Muhyiddin berkata, beliau telah menentang perbuatan jenayah pihak terbabit sejak dari awal dan akan terus berjuang menghalang kumpulan kleptokrat ini daripada kembali berkuasa.
“Justeru, saya percaya mahkamah di negara kita juga akan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam kes 1MDB yang masih dalam prosiding.
“Perbicaraan kes ini mesti disegerakan agar keadilan segera dicapai,” katanya. – Malaysiapost

