DUA peniaga warga asing ditahan kerana melakukan provoksi termasuk mengeluarkan kata-kata kesat serta meludah ke arah penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Pusat Bandar Utara, di ibu negara, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Heisham Harun, berkata pihaknya telah menerima satu laporan pada jam 6.41 petang berkenaan kejadian itu ketika anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan di hadapan Affin Bank Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur.
“Hasil siasatan awal mendapati pihak Penguat kuasa DBKL melihat dua orang warga asing sedang berniaga ketika sedang melakukan rondaan di kawasan kaki lima bank tersebut.
“Oleh yang demikian, pihak penguat kuasa DBKL telah bertindak menyita barangan mereka. Namun keadaan menjadi kecoh apabila kedua-dua warga asing tersebut enggan bekerjasama dan bertindak melakukan provokasi yang agresif dengan menepis tangan pihak berkuasa yang sedang merakam gambar sehingga menyebabkan telefon bimbit jatuh dan rosak.
“Mereka juga bertindak mengeluarkan kata-kata kesat serta meludah ke arah muka salah seorang penguatkuasa DBKL serta bertindak mengoyakkan baju sendiri dan menuduh perbuatan tersebut dilakukan oleh pihak penguatkuasa DBKL bagi mengelakkan dirinya dari ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Heisham berkata, ekoran dari kejadian tersebut seorang lelaki dan seorang perempuan warga asing berusia 34 dan 38 tahun yang terlibat dalam insiden ini telah ditahan di tempat kejadian.
” Kedua-dua suspek yang ditangkap ini tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.
“Suspek kini telah direman di IPD Sentul bermula dari 9 April 2022 sehingga 22 April 2022 bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana telah menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Sehubungan itu, Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang. Jika anda mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes jenayah yang berlaku bolehlah menyalurkannya dengan cara menghubungi menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222,” katanya. – Malaysiapost

