Bentang, bahas RUU Anti Lompat Parti bermula 11 April

0
1

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan sidang khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 dan 12 April ini akan diteruskan seperti yang dirancang.

Jelas beliau, persidangan selama dua hari itu bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

“Kementeriannya dan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik menyatakan komitmen akan memberi sokongan bagi membolehkan Rang Undang-Undang ini mendapat majoriti 2/3 dalam sidang khas Parlimen pada 11 dan 12 April 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Wan Junaidi dan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik hari ini telah mencapai kata sepakat mengenai beberapa tindakan susulan berkaitan undang-undang yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti bagi maksud pembentangan dalam sidang khas Parlimen pada 11 April ini.

“Antara perkara yang dipersetujui kedua-dua pihak adalah untuk memberi sokongan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan penggubalan punca kuasa (enabling clause) di bawah Perkara 10 bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

“Draf awal akta tersebut akan diedarkan untuk penelitian ahli Jawatankuasa Pemandu Tranformasi dan Kestabilan Politik sebelum sidang khas Parlimen pada 11 April 2022.

“Selain itu, kedua-dua pihak bersetuju satu lagi sidang khas Parlimen diadakan untuk membentang, membahas dan meluluskan undang-undang berkaitan dalam masa terdekat yang akan diumumkan Perdana Menteri, selaras dengan Peraturan 11 (3) Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.

Terdahulu terdapat laporan menyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendakwa, Kabinet tidak bersetuju RUU itu dibentangkan.

RUU Anti Lompat Parti sepatutnya dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Jelasnya, RUU berkenaan tidak akan dibentangkan pada sidang khas akan datang sebaliknya akan dihantar semula untuk kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here