Macau Scam curi wang dari akaun Tabung Haji 

0
1

SEBANYAK 65 kes kehilangan wang dari akaun Tabung Haji membabitkan kerugian RM3.59 juta berlaku kepada mangsa sindiket penipuan Macau Scam, baru-baru ini. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata berdasarkan siasatan, dalang kepada kegiatan tersebut adalah sindiket Macau Scam. 

Katanya, sindiket membuat panggilan kepada dan menakutkan mangsa dengan mendakwa terbabit kegiatan jenayah, mempunyai tunggakan kad kredit dan sebagainya sebelum meminta mangsa mendedahkan maklumat perbankan mereka. 

“Terbaharu, sindiket Macau Scam ini dikesan membuat pengeluaran wang dari akaun Tabung Haji yang dipautkan dengan akaun bank komersial milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut Mohd Khairudin berkata kemudahan fasiliti perbankan internet oleh Tabung Haji dan bank konvesional lain membolehkan perkara itu berlaku. 

“Siasatan turut mendapati mangsa telah memberikan maklumat perbankan kepada individu tidak dikenali.   

“Akibatnya bukan hanya wang dalam akaun bank lesap malah wang disimpan di Tabung Haji juga hilang. 

“Setakat ini, sebanyak 65 kes dilaporkan dengan kerugian RM3.59 juta,” katanya. 

Beliau berkata, walaupun orang ramai sudah terlalu kerap diingatkan agar jangan sesekali memberikan maklumat perbankan kepada individu tidak dikenali, masih ramai yang menjadi mangsa penipuan . 

“Justeru, pesanan sedemikian akan terus disampaikan dalam usaha mengelakkan orang ramai terus menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau memaklumkan orang ramai yang ingin  mendapatkan sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here