Amaran hujan berterusan di Sarawak, Sabah dan Labuan bermula 9 April

0
1
Kelihatan hujan lebat di Kuala Lumpur petang tadi.

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada untuk Sarawak, Sabah dan Wilayah Labuan berkuat kuasa pada 9 dan 10 April ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, cuaca buruk itu berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS).

“Ia di mana satu sistem cuaca tekanan rendah dijangka terbentuk di Laut China Selatan dalam tempoh 8 hingga 10 April 2022.

“Keadaan ini akan menyebabkan penumpuan angin dan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan barat Sabah, utara Sarawak dan WP Labuan dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Selain itu, Muhammad Helmi, berkata, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, kedua dan ketiga juga telah dikeluarkan bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 10 April 2022.

“Justeru, orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here