Semua pihak patut pertahan usaha PM martabat Bahasa Melayu

0
1

USAHA Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memartabatkan Bahasa Melayu perlu disokong semua pihak.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Shahir Adnan berkata, semua pihak patut menyokong usaha Perdana Menteri itu untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

“Pada masa ini hanya empat daripada 10 negara ASEAN menggunakan Bahasa Inggeris dalam acara rasmi di peringkat antarabangsa, manakala enam negara lagi menggunakan bahasa ibunda sendiri dalam urusan rasmi masing-masing dan perlu diterjemahkan.

“Bahasa Melayu digunakan secara meluas di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, termasuklah selatan Thailand,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun Menteri Indonesia menyangkal cadangan Malaysia dan menyatakan bahawa Bahasa Indonesia perlu menjadi bahasa teras.

Minggu lalu, Perdana Menteri menyatakan cadangan kepada Presiden Indonesia berkenaan perkara itu ketika mengadakan lawatan rasmi ke negara jiran itu.

Mengulas lanjut, Shahir berkata DPIM berpandangan Bahasa Melayu adalah bahasa rumpun, di mana dialek dan lenggok bahasa berubah mengikut negara.

“Perbezaan pandangan oleh Menteri Pendidikan Indonesia itu bukan satu halangan untuk mengangkat kedudukan Bahasa Melayu,” katanya.

Berdasarkan logik, Shahir menjelaskan, sekiranya Bahasa Indonesia bukan Bahasa Melayu, apakah sebelum wujudnya Republik Indonesia mereka di sana tidak berbahasa?

“Dialek dan penggunaan kata mungkin berbeza, tetapi objektif memperkasa Bahasa Melayu perlu menjadi teras,” katanya.

Justeru, Shahir menegaskan, DPIM mengajak semua pihak mempertahankan Perdana Menteri agar Malaysia kembali menjadi peneraju negara-negara di ASEAN.

“Cadangan yang datangnya dari Malaysia seharusnya didokong oleh semua pihak demi mengangkat martabat Bahasa Melayu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here