Pencapaian Tokti sebaris Michael Jackson

0
1

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin trending di Twitter apabila namanya tersenarai dalam kumpulan 100 artis paling banyak memenangi anugerah sepanjang zaman, sebaris selebriti tersohor antarabangsa antaranya, Michael Jackson, Beyonce dan BTS.

Siti Nurhaliza menduduki tempat ke-27 dengan jumlah 329 anugerah yang diterima sepanjang berkecimpung dalam industri seni.

Berdasarkan data akaun Twitter iaitu The Artist Museum, Tokti mengalahkan barisan penyanyi terkenal antaranya Justin Timberlake, Usher, Nicky Minaj, Katy Pery, Celine Dion, Selena Gomez, Bruno Mars, Alicia Keys, Christina Aguilera dan kumpulan K-pop terkenal Super Junior serta TWICE.

https://twitter.com/theartistmuseum/status/1511376585848684544?s=21

Rata-rata netizen teruja dan berbangga dengan pencapaian hebat penyanyi nombor satu Malaysia itu dengan jumlah anugerah yang mengalahkan beberapa selebriti terkenal dunia.

Turut digelar dengan panggilan Tokti, beliau adalah artis Malaysia yang paling banyak menerima anugerah sehinggakan rekod beliau telah dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2001 dan kekal pemegang rekod sehingga kini.

Mengikut rekod yang dicatat, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu telah menerima dan memenangi lebih dari 300 anugerah tempatan dan antarabangsa.

Penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgamu itu adalah pemegang beberapa rekod untuk pelbagai anugerah dan penghargaan. Antaranya 42 anugerah di Anugerah Industri Muzik, 25 anugerah di Anugerah Bintang Popular.

Selain itu, Tokti juga pemenang 28 anugerah di Anugerah Planet Muzik, 20 anugerah di Anugerah Juara Lagu, empat di Anugerah MTV Asia, tiga di World Music Awards dan dua di Anugerah Musik Indonesia serta turut memegang dua rekod dalam Malaysia Book of Records. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here