PPM Pulau Pinang rampas mercun raya

0
1

PASUKAN Polis Marin (PPM) Pulau Pinang berjaya merampas kira-kira 15 kotak mengandungi mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai lebih RM17,000 dalam pemeriksaan di sebuah rumah Bukit Tengah, Pulau Pinang, semalam.

PPM Wilayah Satu dalam satu kenyataan, memaklumkan pemeriksaan itu dijalankan susulan hasil maklumat yang diperoleh Unit Risikan Marin.

“Hasil pemeriksaan ke atas rumah tersebut mendapati pelbagai mercun disimpan dipercayai untuk dibekalkan kepada pelanggan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Seorang lelaki pemilik premis berkenaan mengaku memiliki mercun-mercun tersebut tanpa memiliki sebarang permit jualan,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, lelaki beserta barang kes yang dirampas seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1987.

“Jika didapati bersalah boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua- duanya sekali.

“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM17,804.

“PPM Wilayah Satu akan terus menguatkuasakan undang-undang di negara berdaulat ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here