KETUA jabatan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap sebarang perintah, terutamanya arahan pemotongan gaji yang diputuskan Mahkamah Syariah ke atas penjawat awam, khususnya bagi aspek pembayaran nafkah.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, melalui satu surat edaran semalam memberitahu ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan dalam memelihara kebajikan wanita dan anak-anak yang terkesan dengan penceraian.
“Selaras dengan hasrat kerajaan dalam memelihara kebajikan wanita dan anak-anak yang terkesan dengan masalah perceraian, khususnya dari aspek bayaran nafkah, Ketua Jabatan adalah bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap sebarang perintah, terutamanya arahan pemotongan gaji yang diputuskan Mahkamah Syariah.
“Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, arahan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Wanita pada 8 Mac lalu, mengumumkan bahawa dalam membantu golongan wanita yang terkesan disebabkan isu perceraian, kerajaan telah meminda Akta Pembiayaan Kewangan yang membolehkan pihak bank membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.
Pindaan itu juga membolehkan pihak bank membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan tersebut kepada isteri sekiranya isteri ada membuat tuntutan melibatkan wang ringgit di mahkamah melalui kaedah dikenali sebagai Hiwalah. – Malaysiapost

