Malaysia-Indonesia perlu sepakat jadikan bahasa Melayu, bahasa pengantar kedua ASEAN – ABIM

0
1

Malaysia-Indonesia perlu sepakat jadikan bahasa Melayu, bahasa pengantar kedua ASEAN – ABIM

MALAYSIA dan Indonesia perlu bekerjasama untuk meningkatkan persefahaman serta mengelakkan polemik bagi mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kedua rasmi ASEAN.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata usaha Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua organisasi tersebut, perlu disambut baik dengan mencari kesepakatan untuk menempatkan lingua ini pada peranan yang strategik.

Katanya, ini sejajar dengan fungsi bahasa Melayu sebagai pengantar utama ketika alam Melayu menjadi pusat peradaban kosmopolitan yang memimpin dinamika rantau Asia Tenggara.

“Selain itu, perlu ditegaskan dalam persuratan Indonesia sebelum Merdeka, bahasa yang digunakan adalah ‘bahasa Melajoe’ (bahasa Melayu dalam ejaan pengaruh Belanda).

“Namun, selepas Sumpah Pemuda bertarikh 28 Oktober 1928 maka digunakan nama Bahasa Indonesia dalam pernyataan jati diri tiga serangkai – ‘Bertanah air yang satu – Negara Indonesia, Berbangsa yang satu – Bangsa Indonesia, Berbahasa yang satu – Bahasa Indonesia’,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Faizal berkata, kenyataan ini juga bersandarkan kepada keputusan nombor 8 Kongres Bahasa Indonesia Kedua yang diadakan di Medan, pada 28 Oktober hingga 2 November 1954.

“Ia yang mengatakan bahawa asal bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu, dasar bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu yang disesuaikan dengan pertumbuhannya dalam masyarakat Indonesia sekarang.

“Jadi, penggunaan istilah bahasa Melayu juga sifatnya meluas merentas negara, iaitu digunakan oleh mana-mana rumpun Melayu di mana-mana rantau di dunia ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan isu bahasa Melayu seharusnya menjadi medan yang menyatukan warga Alam Melayu.

“Sebagai jalan tengah untuk mengelakkan polemik serta pertelagahan istilah yang merugikan, antaranya ia boleh diselesaikan dengan penggunaan istilah yang boleh menyatu seperti ‘Bahasa Melayu – Nusantara’.

“Di sini pentingnya untuk kita bersama mengangkat semula Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) yang merupakan sebuah badan kebahasaan serantau yang ditubuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu yang merupakan khazanah kosmopolitan rantau Nusantara,” katanya.

Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Riset, dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim dalam satu kenyataan semalam dilaporkan menolak mengenai usul yang diketengahkan Malaysia untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama ASEAN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here