Jangan leka pemakaian pelitup muka – Dr Noor Hisham

0
1

ORANG ramai diseru supaya tidak leka dan terus memakai pelitup muka walaupun negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik, kerana virus SARS-CoV-2 ini amat mudah merebak melalui titisan cecair atau titisan saluran pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sama ada fasa peralihan ke endemik, ataupun fasa endemik, ianya tidak bermakna bahawa bahaya virus SARS-CoV-2 boleh diabaikan.

Menurutnya, masyarakat harus tetap berwaspada kerana virus ini masih wujud dan menular serta mengakibatkan kematian terutamanya golongan berisiko tinggi.

“Walaupun sebahagian besar penduduk Malaysia telah menerima vaksin Covid-19 dos primer, amalan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal yang munasabah masih perlu diteruskan oleh setiap individu dalam fasa peralihan ke endemik.

“Ini adalah bagi memberi perlindungan berterusan kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, individu yang mempunyai sistem imuniti tubuh yang rendah, dan individu yang mempunyai komorbid,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, risiko penularan virus SARS-CoV-2 daripada pembawa virus yang tidak memakai pelitup muka adalah tinggi kepada individu sihat yang tidak memakai pelitup muka.

“Risiko ini berkurang menjadi sederhana tinggi apabila pembawa Covid-19 tidak memakai pelitup muka walaupun individu sihat bertindak memakai pelitup muka.

“Risiko penularan adalah rendah sekiranya pembawa Covid-19 memakai pelitup muka apabila berhadapan dengan individu sihat tanpa pelitup muka,” katanya.

Menurutnya, yang terbaik adalah kedua-dua individu iaitu pembawa Covid-19 dan juga individu sihat memakai pelitup muka, yang mana risiko penularan adalah sangat rendah.

Beliau berkata, pemakaian pelitup muka yang betul adalah dengan pelitup muka menutup hidung dan mulut sepenuhnya dan ia bukanlah sekadar di bawah hidung atau di hujung hidung.

“Elakkan kebiasaan membiarkan dagu terdedah, menurunkan pelitup muka ke bahagian dagu, atau memakai pelitup muka yang longgar,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihak bertanggungjawab ke atas premis perlu memastikan pekerja dan individu sentiasa memakai pelitup muka semasa di premis atau menyertai aktiviti.

“Pekerja dan individu pula perlu memastikan memakai pelitup muka setiap masa terutamanya apabila ada kehadiran individu lain,” katanya.

Beliau turut menyeru agar amalan saling tegur-menegur antara masyarakat perlu dilakukan sebagai amalan solidariti bagi kebaikan bersama termasuk berhubung pemakaian pelitup muka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here