TERLAJAK perahu boleh diundur, namun terlajak perbuatan buruk padahnya.
Itulah nasib menimpa seorang pemandu kereta yang ‘diajar’ orang ramai kerana membuang sampah keluar dari tingkap keretanya.
Insiden itu secara kebetulan dirakam seorang pemandu di belakang kereta pemandu yang membuang sampah tersebut, kemudiannya tular di media sosial.
Pemandu kereta jenis Perodua Myvi itu mendapat malu besar apabila seorang lelaki mengutip sampah yang dibuangnya sebelum ‘memulangkan’ semula ke dalam keretanya.
Dalam klip video itu memaparkan adegan tidak bertanggungjawab pemandu Myvi tersebut membuang sampah seperti kain, pakaian dalam dan beg tangan di tepi jalan.
Seorang lelaki yang melihat kejadian itu datang dan mencampakkan semula sampah berkenaan ke dalam Myvi tersebut.
Tidak lama kemudian muncul beberapa orang awam lain berkumpul di kawasan tersebut dan ada yang menguis-nguis sampah ke arah Myvi berkenaan.
Pemandu Myvi yang terkejut kelihatan cepat-cepat menutup cermin kereta.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi insiden itu berlaku, namun dipercayai berlaku di Lembah Klang. – Malaysiapost

