Angkara cemburu, lelaki dibelasah

0
1

POLIS menahan individu yang dirakam memukul seorang lelaki dipercayai berpunca daripada cemburu seperti dirakam dalam dua video yang tular sejak beberapa hari lalu di Facebook.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Lee Chong Chern, berkata pihaknya mengesan dua video berkenaan pada jam 10.38 pagi semalam yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘Dorai Samy’.

Menurutnya, video berdurasi 44 saat dan 26 saat itu memaparkan kejadian seorang lelaki dikasari oleh beberapa individu.

“Kejadian itu berlaku pada 3 April lalu di sebuah rumah di kawasan Nibong Tebal, Pulau Pinang dan terdapat dua laporan polis berhubung kejadian.

“Satu laporan induk berhubung isu tersebut, manakala satu lagi laporan dibuat oleh pengadu bertujuan menarik balik laporan yang dibuat sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan kejadian adalah berpunca daripada salah faham dan perasaan cemburu yang tidak terkawal hingga mangsa dipukul dan mengalami kecederaan di bahagian kepala serta lengan kanan.

“Mangsa kemudian telah dibawa untuk mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Sungai Bakap dan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, namun hingga kini tiada laporan dibuat mangsa.

“Berikutan kejadian ini, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 498/506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, tangkapan juga telah dibuat ke atas suspek yang terlibat dan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk perhatian dan arahan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menularkan video yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya membuat laporan polis dan serahkan kepada agensi penguatkuasaan untuk tindakan susulan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here