Lelaki dipukul, disamun geng motosikal di Setia Alam

0
1

SEORANG lelaki cedera dipukul selepas disamun sekumpulan lelaki tidak dikenali ketika menunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Persiaran Setia Dagang U13 Setia Alam, Shah Alam, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata ketika kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun dalam perjalanan menghantar barang ke rumah rakan sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Menurutnya, selepas kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pemandu peribadi memaklumkan kepada isterinya berhubung kejadian itu dan isterinya segera membuat laporan polis.

“Mangsa lebam di bahagian mata dan pipi, luka pada tangan kanan dan kiri kerana dipukul dengan tangan dan topi keledar oleh suspek.

“Mangsa turut kerugian apabila telefon bimbit Huawei Nova 4, dompet mengandungi dokumen penting serta RM50 dan motosikal dilarikan kumpulan suspek itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Iqbal berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan kumpulan lelaki terbabit sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Justeru, beliau memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Saiedayu di talian 03-55202222.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki dipukul di persimpangan lampu isyarat Persiaran Setia Dagang U13 Setia Alam oleh sekumpulan lelaki bermotosikal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here