KJ alukan kajian CBD untuk tujuan perubatan

0
1

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengalu-alukan kajian klinikal ke atas ‘Cannabidiol’ atau CBD (antara kandungan aktif dalam pokok kanabis) untuk tujuan perubatan.

Menerusi ciapan di Twitter, Khairy menegaskan Kementerian Kesihatan (KKM) mengalu-alukan lebih banyak kajian klinikal dilakukan ke atas CBD oleh Institut Kajian Perubatan (ICR).

“Banyak perbincangan mengenai penggunaan ganja dalam perubatan. @KKMPutrajaya konsisten dalam mengamalkan dasar berasaskan bukti.

“Itulah sebabnya kami mengalu-alukan kajian klinikal bagi penggunaan CBD untuk tujuan perubatan. Ini boleh diselaraskan oleh @ICR_NIH & @ClinicalRsrchMY,” ciapnya.

CBD atau ‘cannabidiol’ adalah antara kandungan aktif dalam pokok kanabis yang tidak menyebabkan ketagihan atau ‘high’.

Malah CBD berpotensi sebagai ubat untuk autisme, tahan sakit, antimurung dan mengubati penyakit ketagihan ganja itu sendiri.

Menurut Khairy lagi, setakat ini tiada penyerahan penuh untuk kajian serta percubaan klinikal mengenainya, sebaliknya kebanyakannya hanyalah luahan minat, ceramah dan advokasi media sosial.

“@KKMPutrajaya mengalu-alukan penyelidikan yang dimulakan oleh industri atau akademia untuk kegunaan perubatan CBD. Kami bersedia untuk bekerjasama,” katanya.

Minggu lalu, penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dakwaan penyalahgunaan dadah sempat meminta wartawan menyampaikan salam kepada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Yasin turut menyampaikan hasratnya agar Syed Saddiq terus memperjuangkan penggunaan ganja atau hem untuk tujuan perubatan dibenarkan di Malaysia.

Bagaimanapun, Syed Saddiq dalam responnya enggan mengulas mengenai kes mahkamah dihadapi penyanyi itu namun menegaskan, beliau konsisten memperjuangkan perkara tersebut sejak dilantik menteri di zaman Pakatan Harapan lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here