Kapal kargo Vietnam ditahan bersauh tanpa kebenaran

0
1

SEBUAH kapal kargo asing ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur petang kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata kapal kargo membawa muatan serbuk sisa sawit itu ditahan sekitar jam 3.30 petang di kedudukan 23.11 batu nautika timur laut Tanjung Penawar.

Menurutnya, kapal kargo sepanjang 105 meter itu dikendalikan 18 kru lelaki warga Vietnam berusia antara 22 tahun hingga 50 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal kargo tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

“Kapal berserta kesemua kru telah ditahan mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Maritim Malaysia Negeri Johor akan terus mempergiatkan penguatkuasaan di laut bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negeri Johor terpelihara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here