KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memaklumkan tidak pernah menerima permohonan lengkap daripada Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) bagi mempertimbangkan pembinaan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee, Segambut, di tanah persendirian.
Dalam satu kenyataan, KPM menjelaskan bahawa sekolah berkenaan adalah sekolah kerajaan di atas tapak tanah hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) seluas 1.7 ekar.
Menurut KPM, bermula tahun 2012 hingga 2014, pihak LPS sekolah berkenaan melalui Guru Besar SJKC Khai Chee telah memohon untuk mendirikan satu blok bangunan di atas tanah persendirian sebagai bangunan tambahan sekolah.
“Memandangkan sekolah itu adalah sekolah kerajaan yang dibina atas tanah milik PTP, cadangan pembinaan bangunan tambahan perlu mematuhi Tatacara pembinaan institusi pendidikan kerajaan.
“Bagi membolehkan permohonan itu dipertimbangkan pihak LPS hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
KPM berkata, permohonan yang lengkap perlu memenuhi tiga syarat ditetapkan kepada LPS bagi membolehkan pertimbangan sewajarnya dibuat.
Menurutnya, syarat-syarat yang ditetapkan adalah pihak sekolah perlu mengemukakan bukti bahawa Chevron Malaysia Limited telah membuka atau melupuskan kaveat ke atas tapak berkenaan.
Selain itu, menurut KPM sekolah juga perlu mengemukakan semula skop projek supaya mematuhi Garis Panduan dan Peraturan bagi Perancangan Pembangunan oleh Jawatankuasa Kecil Piawaian dan Kos bagi Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara, Jabatan Perdana Menteri.
KPM berkata, pihak LPS juga perlu mengemukakan surat jaminan untuk menyerahkan tapak dan bangunan baharu kepada kerajaan memandangkan sekolah tersebut adalah sekolah kerajaan.
“Sehingga kini KPM tidak pernah menerima permohonan lengkap yang memenuhi ketiga-tiga syarat yang ditetapkan daripada pihak LPS bagi membolehkan pertimbangan dibuat.
“Laporan dan tinjauan dibuat Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 2014 mendapati pembinaan bangunan tambahan telah dimulakan ditaoak yang dicadangkan tanpa kelulusan KPM.
“Sehubungan itu satu surat arahan pemberhentian kerja telah dikeluarkan oleh JPWPKL pada 8 Disember 2014 memandangkan bangunan tersebut dicadangkan untuk digunakan sebagai sekolah kerajaan,” katanya.
Menurut KPM, semakan mendapati pihak LPS masih meneruskan pembinaan bangunan tersebut dan surat arahan kedua pemberhentian kerja dikeluarkan kepada LPS pada 7 September 2015, namun arahan itu juga tidak dihiraukan dan pembinaan diteruskan sehingga siap.
“KPM menghargai usaha masyarakat yang turut menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara. Bagaimanapun, KPM ingin menegaskan bahawa tindakan pihak LPS yang tidak menghiraukan teguran dengan terus membina bangunan tambahan di tanah persendirian adalah tidak wajar.
“KPM tidak boleh didesak oleh mana-mana pihak untuk menerima apa-apa bangunan sebagai sekolah kerajaan kerana kementerian tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – Malaysiapost

