SEPASUKAN polis dari Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, bersama (D3) Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan migran di Pontian, Johor semalam.
Dalam Op Nyah 1 Johor, pada jam 7.30 pagi itu, dua warga tempatan berusia 38 dan 47 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ‘transpoter’ berjaya ditahan selain 10 lelaki warga asing berusia antara 17 hingga 57 tahun turut ditangkap di tepi Jalan Tebing Kiri Sungai Sanglang, Pontian.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang, berkata turut dirampas dalam operasi berkenaan adalah sebuah Perodua Alza dan dua telefon bimbit pelbagai jenama yang dianggarkan keseluruhan berjumlah RM27,000.
“Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 26(a) Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua warga tempatan yang ditahan adalah suami isteri yang mana lelaki terbabit bertindak sebagai ‘transpoter’ dan wanita pula sebagai pembantunya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas semua suspek mendapati, migran-migran yang ingin masuk ke Malaysia akan dikenakan bayaran sebanyak 9 juta Rupiah (RM2,700) dengan ejen di negara asal mereka.
“Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di jalan yang tidak diwartakan.
“Maklumat boleh disalurkan melalui talian Hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA,” katanya. – Malaysiapost

