
AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyambut baik kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang mengalu-alukan kerjasama industri atau ahli akademik dalam penyelidikan klinikal penggunaan kanabis atau ganja dalam perubatan.
Beliau yang mewakili Kaukus Ganja Perubatan, berkata telah menghantar surat kepada pihak Khairy bagi menjayakan usaha itu.
“Great work YB! Bagi pihak Kaukus Ganja Perubatan, saya telah menghantar surat kepada anda untuk menangani perkara ini bersama-sama.
“Semoga kita dapat mengadakan perbincangan yang berkesan dan membuahkan hasil,” katanya dalam ciapan Twitter, hari ini.
Terdahulu, Khairy dalam kenyataan mengalu-alukan kajian klinikal ke atas ‘Cannabidiol’ atau CBD (antara kandungan aktif dalam pokok kanabis) untuk tujuan perubatan.
Bagaimanapun, KKM setakat ini belum menerima laporan penuh mengenai kegunaan CBD atau ‘cannabidiol’, yang merupakan antara kandungan aktif dalam pokok kanabis, untuk tujuan perubatan.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, beliau juga tidak sabar untuk terlibat sama dalam perkara itu.
Syed Saddiq sebelum ini mengulangi pendirian memperjuangkan penggunaan ganja atau hem untuk tujuan perubatan dibenarkan di Malaysia.
Beliau juga pernah berbahas dalam Dewan Rakyat mengenai potensi perubatan kanabis jika ia dibenarkan di Malaysia. – Malaysiapost
