Pejuang masih terbuka berunding kerjasama PRU15, termasuk dengan Bersatu

0
1

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti politik mengenai kerjasama untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, termasuk dengan pesaingnya, Bersatu.

Timbalan Presidennya, Datuk Marzuki Yahya, berkata selepas Bersatu mengumumkan ia memberi mandat kepada Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneroka kerjasama dengan parti politik di luar Perikatan Nasional (PN).

“Demi menjaga kepentingan dan kedudukan orang Melayu serta untuk kebaikan negara yang lebih bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa yang kini telah mengakibatkan ekonomi dan tekanan yang berat kepada rakyat.. demi itu Pejuang akan sentiasa terbuka untuk perbincangan dengan sesiapa sahaja,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

“Dengan sesiapa sahaja,” tambah Marzuki apabila ditanya secara khusus sama ada dasar pintu terbuka Pejuang itu termasuk kepada Bersatu.

Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin mengeluarkan kenyataan mengumumkan Majlis Tertinggi parti telah memberikan mandat penuh kepada biro politik Bersatu yang dipengerusikan Muhyiddin untuk membincangkan strategi PRU15 dengan parti lain di negara ini.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah spekulasi bahawa Muhyiddin sedang giat mencari sokongan daripada parti-parti di luar gabungan PN untuk cubaan menjadi perdana menteri semula.

Kenyataan Marzuki bahawa pintu Pejuang masih terbuka untuk perbincangan dengan Bersatu adalah berbeza dengan pendirian pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dilihat menentang idea itu.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai perkara ini, Marzuki menafikan kenyataannya bercanggah dengan Mahathir.

Jelasnya, pengerusi Pejuang itu sebelum ini menyatakan parti mereka boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi kepentingan orang Melayu.

Mahathir pada 1 April mendedahkan bahawa Muhyiddin telah datang menemuinya, dan mendakwa bahawa Muhyiddin memohon sokongannya untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

Pengasas Pejuang itu berkata, ketika itu bahawa parti mereka tidak membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu, tetapi memberi gambaran bahawa dia menentangnya.

Mahathir juga menyifatkan Muhyiddin sebagai ‘tikam belakang’ kerana menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

Di sebalik keengganan Mahathir, anak lelakinya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang juga Presiden Pejuang, juga telah menyatakan bahawa parti itu bersedia bekerjasama dengan Bersatu atau parti pembangkang lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here