Asyraf Wajdi sertai program ‘Kejut Sahur’ bersama anak muda di Sabah

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyertai sekumpulan anak muda dalam program ‘Kejut Sahur’ di Kampung Pasir Puteh Baharu, Kalabakan, Sabah, awal pagi tadi.

Menurut perkongsian di Facebooknya, program ‘Kejut Sahur’ itu bermula jam 3.30 pagi dengan sekumpulan anak muda mengelilingi kampung sambil memalu gendang dan kompang, termasuk menyanyi lagu tradisi.

“Pengalaman bermakna dapat bersama-sama dengan anak-anak muda Kg Pasir Puteh Baharu Kalabakan Sabah seawal pukul 3.30 pagi keliling kampung dalam program tradisi kampung ini iaitu ‘Kejut Sahur’ sambil bergendang dan berkompang dengan iringan pelbagai lagu-lagu tradisi yang begitu menghiburkan.

“Tradisi yang menarik di samping memperkukuhkan ikatan ukhuwah dikalangan anak-anak muda kampung,” katanya.

Program berkenaan turut dihadiri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu merangkap Exco Pemuda Umno, Andi Muhammad Suryady Bandy.

Tradisi mengejutkan umat Islam bersahur adalah program biasa setiap kali Ramadan di Sabah.

Aktiviti itu dikenali sebagai ‘ketuk-ketuk kejut sahur’ amat popular di beberapa derah di Sabah dan kebiasaannya penduduk akan memalu kompang dan tamborin diiringi alunan lagu-lagu rakyat dimainkan.

Ia dipercayai diperkenalkan sejak awal 1970-an dengan menyelitkan pelbagai unsur nasihat melalui penyampaian lagu-lagu rakyat di sepanjang laluan serta hadapan rumah penduduk.

Ia bertujuan mengejutkan penduduk setempat beragama Islam bangun tidur bersahur tanpa mengira lapisan usia termasuk mungkin kanak-kanak seawal usia enam tahun untuk menunaikan ibadah puasa.

Penduduk lazimnya bergerak secara berkumpulan antara 20 hingga 30 orang berjalan kaki mengelilingi kampung sambil membawa peralatan muzik tradisional seperti kompang, tamborin dan kerincing, seawal jam 2 pagi hingga 4 pagi atau sebelum masuknya waktu imsak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here