Tol 4 lebuh raya tidak dinaikkan adalah usaha PH

0
2

PAKATAN Harapan (PH) mendakwa pengumuman mengenai penstrukturan empat syarikat konsesi lebuh raya di sekitar Lembah Klang, sekaligus tiada kenaikan kadar tol di lebuh raya berkenaan semalam adalah atas usaha PH sebelum ini.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan mengambil maklum pengumuman dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu.

“Bahawa empat lebuhraya iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP) tidak akan dinaikkan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi.

“Tambahan, keempat-empat lebuh raya ini dilaporkan akan diambil alih oleh sebuah entiti iaitu Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) pada nilai RM5.48 bilion.

“Hasil ini merupakan kesinambungan kepada usaha yang dimulakan Kerajaan Pakatan Harapan pada Oktober 2019 di mana Majlis Jemaah Menteri pada ketika itu telah memutuskan secara dasar untuk memulakan proses mengambil alih lebuhraya-lebuhraya tersebut,” menurut kenyataan itu.

Majlis berkenaan berkata, apa yang diumumkan itu adalah dasar PH yang diteruskan hingga ke penghujungnya.

“Ini membuktikan bahawa jika PH terus mentadbir lebih dari 22 bulan dan ‘Langkah Sheraton’ tidak berlaku, pelbagai dasar yang membantu meringankan beban rakyat dapat dilaksanakan.

“Sebagai contoh, kerajaan PH telah memulakan usaha menamatkan konsesi lebuhraya dengan mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18 peratus pada 2020.

“Malah PH telah merancang untuk memberi diskaun 30 peratus dan tol percuma selama 16 jam sehari di empat lebuh raya ini,” katanya.

Oleh itu, Majlis Presiden PH menggesa kerajaan untuk memberi diskaun tambahan kepada pengguna empat lebuh raya ini, serta memberi penjelasan penuh ke Parlimen berhubung hakmilik ALR.

“Terutama dari sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaan ALR,” katanya.

Kenyataan Majlis Presiden PH dibuat bersama oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here