SIAPA yang tidak takut sekiranya kapal terbang yang dinaiki secara tiba-tiba seakan mengalami kerosakan selepas berada pada ketinggian ribuan kaki di udara.
Itulah pengalaman dilalui seorang penumpang yang menceritakan detik cemas apabila pesawat yang dinaikinya tiba-tiba turun dari ketinggian 25,000 kaki kepada 23,000 kaki hanya dalam beberapa saat.
Menceritakan detik itu, Halimah Nasoha, menerusi Facebooknya menjelaskan dia menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur ke Tawau pada jam 2.30 petang, kelmarin.
Katanya, selepas 30 minit berlepas dari lapangan terbang sekitar jam 3.03 pesawat berkenaan secara tiba-tiba berada dalam keadaan tidak stabil apabila ketinggian pesawat itu naik dan menjunam beberapa kali.
“Aku terlambung-lambung sebab tak pakai ‘seatbelt’ (time tu dah boleh tanggal ‘seat belt’). Dalam 10 minit ‘flight’ dlm keadaan tak stabil.
“Lepas dia naik balik, dia jatuh lagi tapi tak teruk mcm ‘the first drop’. ‘Passanger’ menjerit-jerit ada yang menangis semua. Ye lah memang dah rasa akan mati dah,” katanya dalam hantaran itu.
Sementara itu, memetik laporan portal Sabahmedia.com, Halimah turut menceritakan perasaannya ketika mengalami situasi cemasnya itu.
Dia juga membuat semakan di dalam aplikasi flight radar bagi mendapatkan maklumat jumlah ketinggian pesawat dan lokasi semasa kejadiaan cemas yang dihadapinya itu.
Menurutnya, semakan menggunakan aplikasi berkenaan menunjukkan pesawat itu telahpun berpatah balik ke KLIA selepas membuat pusingan di kawasan Laut China Selatan dan Melaka dan akhirnya selamat mendarat semula di lapangan terbang KLIA.
Jelasnya, syarikat penerbangan yang dinaikinya itu juga bertindak untuk mengatur penerbangan menggunakan kapal terbang lain sebelum mereka semua bertolak kembali ke Tawau dan tiba pada jam sekitar jam 9.50 malam.
Dalam pada itu, Halimah turut memuji kecekapan juruterbang yang mengendali pesawat dan krew pesawat berkenaan yang berjaya mengendalikan tempoh cemas itu dengan baik dan berjaya mendaratkan semula pesawat itu tanpa kejadiaan yang tidak diingini serta mengaturkan pesawat lain untuk ke destinasi yang sama pada hari yang sama.
“Tidak semua orang akan mengalami pengalaman seperti ini dan masih hidup untuk berkongsikan cerita ini.
“Untuk itu saya bersyukur, Alhamdulillah Segala puji bagi Allah. Terima kasih jugak ‘pilot’ semalam yang dengan jayanya dapat kawal ‘plane’ tersebut dan menyelamatkan kami,” katanya. – Malaysiapost

