Konsert Justin Bieber: ‘Sedih melihat sesuatu kemungkaran, namun ramai yang berdiam’

0
2

SELEPAS dikecam kerana teguran berhubung konsert artis barat, Justin Bieber, penceramah bebas, Ustazah Asma’ Harun tampil meluahkan rasa kecewa apabila ada ibu bapa yang mempertahankan anak masing-masing berhubung isu terbabit.

Beliau berkata, lebih menyedihkan lagi apabila tegurannya mengenai perkara itu dibalas dengan kecaman ibu bapa yang meminta beliau supaya tidak ‘menjaga tepi kain orang lain’.

“Yang ramai kecam juga dalam kalangan ibu ayah, katanya pergi bukan guna duit Ustazah pun, kenapa nak sibuk hal orang, dan lain-lain yang lebih pedih.

“Saya tak sedih dikecam dan dihina, siapa saya ni untuk dihormati dan dimuliakan, banyak kekurangan dan dosa sendiri yang lebih menjadikan diri ini hina.

“Kesedihan adalah apabila melihat sesuatu kemungkaran namun ramai yang berdiam,” katanya dalam hantaran Facebooknya, semalam.

Beliau turut mempersoalkan kenaifan ibu bapa yang tidak mungkin tidak mengetahui bahawa suasana konsert seumpama itu akan berlakunya percampuran lelaki dan perempuan.

“Kadang minuman najis berjaya dicuba, lebih jauh lagi ia boleh menjadi langkah pertama menuju kepada penzinaan.

“Suasana terkinja-kinja dan saling hilang kawalan diri, walaupun asalnya si anak ni seorang yang pemalu dan sopan.

“Namun suasana sangatlah mempengaruhi seseorang, pakaian pula tak boleh dibayangkan, pasti akan disesuaikan dengan konsert supaya tak dilihat janggal,” katanya.

Jelas Asma’, sebagai pendakwah beliau menanggung amanah yang akan dihisab kelak sekiranya tidak menegur kemungkaran yang ‘benarkan secara terbuka’ oleh pihak tidak bertanggunjawab.

Beliau berkata, ketika Arab Saudi menganjur konsert ‘Riyadh Season’ ramai yang mengecam dan menginsafi bahawa itu adalah petanda akhir zaman, selain merasa terkejut dengan tindakan negara itu.

“Terlalu sedih, bila budaya ini sampai ke tanah air sendiri, Malaysia yang dicintai, masing-masing boleh mengubah rasa itu kepada sesuatu yang dianggap biasa.

“Normalisasi sengaja ‘buat maksiat lepas tu taubat’ telah menjadi tipu daya yang sangat berjaya hawa nafsu dan syaitan,” katanya.

Dalam pada iti, Asma’ berkata, tiket konsert berkenaan juga sudah habis terjual walaupun harganya mahal, sekali gus membuktikan ia mendapat sambutan di negara Islam, Malaysia.

“Selepas ini, nantikanlah konsert lain pula bakal menyusul, atas nama hiburan itu keperluan, maka suburlah budaya hedonisme.

“Terbentuk jelaslah generasi hamba hiburan, itulah nanti menjadi sumber pendapatan pihak penganjur yang tamak.

“Ini bukan doa atau sangka buruk, menulis daripada pengalaman menguruskan kes masalah sosial remaja dan penyesalan ibu bapa,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Justin Bieber yang juga penyanyi popular kelahiran Kanada, dijadualkan membuat persembahan di Stadium Negara Bukit Jalil pada 22 Oktober ini.

Tiket bagi konsert World Tour itu dijual pada harga RM288 sehingga RM2,000, dan dilaporkan habis dalam masa lima jam selepas slot jualan dibuka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here