KMUM tawar jadi penganjur debat antara Najib dan Anwar

0
1

KESATUAN Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menawar untuk menjadi penganjur bagi sesi perdebatan dua tokoh politik tanah air iaitu antara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pihak KMUM dalam satu kenyataan semalam, membuat tawaran untuk menjadi penganjur debat awam atas kapasiti entiti neutral yang tidak berpihak kepada mana-mana pihak dan mampu untuk memberi keyakinan kepada penonton dan rakyat.

“KMUM mengambil maklum terhadap persetujuan di antara dua tokoh politik tanah air iaitu Najib dan Anwar untuk berdebat berkaitan isu `bail out’ bagi syarikat Sapura Energy.

“Sebagai sebuah badan persatuan mahasiswa yang meraikan program bersifat keilmuan dan meraikan pendapat, kami ingin menawarkan diri menjadi penganjur bagi sesi perdebatan tokoh politik tanah air ini,” menurut kenyataan itu.

Dengan itu, KMUM menjemput kedua-dua tokoh untuk menerima pelawaan ini bagi sesi debat yang bersejarah ini.

“Untuk sebarang soalan atau maklumat lebih lanjut boleh berhubung terus dengan Presiden KMUM, Afiq Ikhwa di alamat email [email protected],” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian hari ini melaporkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bersetuju jika Sinar Harian menjadi penganjur utama kepada program debat dua tokoh politik berkenaan.

Persetujuan tersebut susulan kesediaan Anwar dan Najib menyahut cabaran berdebat isu kewajaran ‘bail out’ syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia, Sapura Energy Berhad, seperti dikemukakan Rafizi sebelum ini.

Semalam kedua-dua tokoh berkenaan menyatakan persetujuan untuk berdebat dan Najib meminta pasukan Anwar dan Rafizi aturkan dengan media sekiranya ada yang berhasrat untuk siarkan secara langsung debat berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here