POLIS telah mengenal pasti individu yang melakukan aksi berbahaya menunggang dengan kedua-dua tangan tidak memegang handle motosikal seperti tular di media sosial.
Berdasarkan video tular berdurasi 39 saat itu, lelaki berkenaan seakan-akan menari sambil menunggang motosikal.
Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), tindakan tersebut boleh menyebabkan risiko kemalangan bukan hanya kepada dirinya, malah kepada pengguna jalan raya yang lain.
“JSPT telah berjaya mengesan alamat pemilik motosikal dan meminta penunggang tersebut supaya hadir ke Balai Trafik Port Dickson bagi membantu siasatan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk menghubungi mana-mana Balai Polis Trafik yang berdekatan dengan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
JSPT turut menasihati penunggang supaya sentiasa memegang handle motosikal dengan betul.
“Ini diperincikan di bawah Kanun Lebuhraya LN 165/59 iaitu mengenai sikap, berhemah, perbuatan yang tidak berhemah, kelajuan dan lain-lain lagi demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya lagi. – Malaysiapost

