TIADA lagi penundaan perlawanan Liga Malaysia (Liga M) 2022 melibatkan pasukan yang terkena jangkitan Covid-19.
Prosedur operasi standard (SOP) baharu itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam hari ini.
Menurutnya, perkembangan itu diluluskan Ahli Lembaga Pengarah dan dibentangkan kepada semua CEO kelab-kelab yang bertanding pada sesi taklimat pada 29 Mac lalu.
Jelasnya, ia penting memastikan kelancaran saingan Liga M di mana semua pasukan bakal mengharungi jadual agak padat andai kelonggaran untuk pasukan memohon penundaan perlawanan akibat kes Covid-19 terus dipraktikkan.
Ini kerana katanya, sehingga 16 Mac 2022, MFL terpaksa menunda 16 perlawanan melibatkan pertandingan Liga Super, Liga Premier dan Piala FA akibat penularan Covid-19 dalam kalangan pegawai dan pemain kelab.
“Dengan penundaan beberapa perlawanan sebelum ini jelas menjejaskan penjadualan perlawanan Liga Super dan Liga Premier khususnya bagi tempoh rehat serta perjalanan kelab-kelab dan perancangan pasukan kebangsaan.
“Masalah ini diburukkan lagi dengan beberapa perlawanan yang terpaksa ditunda hanya sehari sebelum perlawanan yang mana pasukan lawan dan pegawai-pegawai perlawanan telah tiba di negeri pasukan tuan rumah.
“Selain kekangan masa bagi penjadualan semula perlawanan, setiap penundaan akan menelan kos tinggi dari segi pengelolaan, logistik, penyiaran dan keselamatan serta merumitkan keadaan bagi semua pihak yang terbabit,” katanya menerusi kenyataan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Awani

